Tuesday, July 13, 2010

Larangan Menjadikan Musuh Sebagai Teman Setia

SURAH AL-MUMTAHANAH ( PEREMPUAN YANG DI UJI )
Al-mumtahanah bererti perempuan yang diuji. Nama surah ini diambil pada perkataan “famtahinuhunn” pada ayat ke-10 surah ini. Menurut Prof Dr. Hamka(PDH) surah ini berkaitan wanita-wanita yang bersama-sama berhijrah meninggalkan kota Makkah ke kota Madinah. Mereka telah meninggalkan kaum keluarga termasuk para suami yang masih musyrik.Surat ini sejak ayat pertama sehingga ayat yang akhir menunjukkan sikap orang yang beriman terhadap orang kafir.

Syed Qutb menggambarkan surah ini sebagai salah satu episod daripada silsilah dakwah dan tarbiyyah Rasulullah yang panjang.Ia membangun misi Rabbani dengan penuh nilai-nilai ketuhanan yang murni dan ikhlas semata-mata kerna Allah.

Justeru, marilah kita sama telusuri dan menghayati kalam-kalam Allah yang mulia yang terkandung dalam surah yang sharif ini:

Ayat 1. Wahai orang-orang Yang beriman! janganlah kamu mengambil musuhKu dan musuh kamu menjadi teman rapat, Dengan cara kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita rahsia orang-orang mukmin) Dengan sebab hubungan baik dan kasih mesra Yang ada di antara kamu Dengan mereka, sedang mereka telah kufur ingkar terhadap kebenaran (Islam) Yang sampai kepada kamu; mereka pula telah mengeluarkan Rasulullah (s.a.w) dan juga mengeluarkan kamu (dari tanah suci Makkah) disebabkan kamu beriman kepada Allah Tuhan kamu. (janganlah kamu berbuat demikian) jika betul kamu keluar untuk berjihad pada jalanKu dan untuk mencari keredaanKu. (tidak ada sebarang faedahnya) kamu mengadakan hubungan kasih mesra Dengan mereka secara rahsia, sedang Aku amat mengetahui akan apa Yang kamu rahsiakan dan apa Yang kamu zahirkan. dan (ingatlah), sesiapa di antara kamu Yang melakukan perkara Yang demikian, maka Sesungguhnya telah sesatlah ia dari jalan Yang betul.
Ayat 2. Jika mereka dapat Menguasai kamu, nescaya mereka menjadi musuh Yang membahayakan kamu, dan mereka akan membebaskan tangan mereka dan lidah mereka terhadap kamu Dengan kejahatan, serta mereka suka kalaulah kamu juga menjadi kafir (seperti mereka).
Ayat 3. Kaum kerabat kamu dan anak-anak kamu (yang tidak menurut kamu beriman) tidak sekali-kali akan mendatangkan sebarang faedah kepada kamu pada hari kiamat; Allah akan memisahkan di antara kamu semua (pada hari itu). dan (ingatlah), Allah Maha melihat Segala Yang kamu kerjakan.

Sebab Turunnya Ayat
Jumhur ulama tafsir sepakat mengatakan bahawa Asbabun Nuzul ayat ini ialah berkaitan peristiwa yang berkaitan sahabat yang bernama Haathib b. Abu Baltha’ah. Perisiwa ini berkaitan Haathib yang telah meminta bantuan seorang wanita bernama sarrah yang datang ke Madinah dari Makkah untuk membawa satu surat memberitahu penduduk musyrik Makkah tentang perancangan kaum mu’min menyerang kota Makkah. Peristiwa ini telah diketahui oleh baginda rasul, lantas baginda telah memerintahkan Ali b. Abi Thalib, Zubair Al-awwam, dan Abu Murtsid ( Al-Maghari menambah Ammar,Talhah, dan al-Miqdad) supaya pergi ke satu lembah bernama “khah” dan menghalang wanita tersebut.
Lantas Haathib dibawa berjumpa dengan Rasulullah S.A.W dan baginda bertanya tentang hal tersebut. Maka Haathib memberikan alasan yang diterima oleh baginda rasul dan menimbulkan kemarahan Saidina Umar tetapi ditegur oleh baginda rasul.Menurut Syed Qutb kisah tentang Hathib ini diriwayatkan secara mutawatir walaubagaimanapun yang meghubungkan ayat ini dengan kisah Haathib hanya ada pada riwayat Bukhori(Al-Maghozi). Kita tidak perlu menafikan asahnya riwayat Bukhori namun kandungan Al-quran lebih jauh jangkauaannya.

Huraian Ayat 1
Auliya’ yang disebut dalam ayat ini bukanlah sekadar merujuk kepada penolong kerana perkataan ini dalam bahasa arab boleh membawa maksud pemimpin, pemuka, sahabat karib dan orang yang melindungi. Hal ini bersesuaian dengan Haathib yang meminta tolong kepada kaum musyrikin untuk membela kaum keluarganya. Perbuatan Haathib ini dianggap sebagai satu pengkhianatan walaupun dia lakukan atas dasar cinta.Allah telah mengingatkan bahawa mereka telah menjadi musuh Allah kerana mereka kufur( Prof. Dr. Hamka). Al-Maraghi mengatakan bahawa Allah menyatakan 2 alasan untuk memisahkan persahabatan antara kaum muslim dan musyrik.
i)Mereka telah kufar setelah datang rasul dan al-quran
ii)Mereka mengusir rasul dan sahabat-sahabatnya
PDH menerangkan sebab kedua sebagai sikap permusuhan terbesar yang ditunjukkan kaum musyrik ke atas orang beriman. Allah telah menegaskan dalam ayat ini bahawa siapa yag berjihad untuk mencari keredhaan-Nya maka tidak boleh berteman dengan orang musyrik.Allah telah memberi peringatan pada penghujung ayat ini.

Huraian Ayat 2
Dalam ayat ini jelas menggambarkan, walaupun orang beriman memecahkan rahsia atas dasar cinta mereka tetap akan menjadi musuh. Hal ini kerana seandainya orang musyrik menang dalam peperangan tersebut maka mereka tidak akan bersahabat atau membela orang yang beriman yang membantu mereka. Al-maraghi dengan jelas menyatakan dalam tafsirnya bahawa akan berlaku 3 keadaan seandainya kemenangan berpihak kepada kaum musyrik:
i) Mereka akan menjadi musuh
ii) Mereka akan melemparkan tangan dan lidah untuk menyakiti mu’minin secara fizikal dan emosi
iii) Mereka menginginkan kekafiran terhadap orang beriman
Syed Qutb dalam tafsirnya menjelaskan bahawa keadaan yang ketiga paling teruk.Hal ini kerana, perkara itu bagi setiap mu’min lebih keras dan menyakitkan daripada penyeksaan lain samada tangan dan lisan daripada orang kafir. Musyrikin menginginkan kerugian terbesar dalam hal yang paling dicintai orang beriman.

Prof Dr. Hamka pula memberi satu konklusi bahawa ayat ini secara langsung menggambarkan akibat yang bakal ditanggung orang beriman seandainya kalah dalam peperangan.

Huraian Ayat 3
Prof Dr. Hamka mengatakan seandainya pegangan hidup sudah berbeza maka tiada lagi manfaatnya mempertahan keluarga. Sirah telah membuktikan bahawa hal inilah yang telah memisahkan Abu Quhafah dan Abu Bakar, dan Abu Bakar dengan Abdurrahman. Keadaan ini juga memisahkan para anbiya’ seperti Nuh a.s dan Luth a.s dengan keluarga mereka, serta Asiah dengan suaminya Firaun Laknaatullah ‘alaih. Syed Qutb menegaskan bahawa tiada ikatan lain yang dapat mengikat hati manusia kepada Allah melainkan ikatan iman. Pada penghujung ayat ini Allah telah memberikan peringatan yang jelas bahawa dia maha mengetahui segala sesuatu.

Istifadat min as-sirah
Dalam sirah ini terdapat beberapa pengajaran yang harus diambil oleh setiap manusia terutamanya para pendakwah sebagai pedoman.

Peristiwa Haathib ini menggambarkan dengan jelas bahawa hakikat fitrah manusia itu amat mencintai kaum kerabat.Justeru kita perlu berhati-hati dalam hal kecintaan ini kerana Allah ebih layak untuk kita cintai atas segala sesuatu.Maka kecintaan kita terhadap sesuatu yang mengundang kemurkaan Allah harus dijauhi. Walaubagaimanapun hal ini tidak bermaksud menafikan hak kaum kerabat untuk dicintai oleh kita. Justeru kita harus memahami al-quran secara keseluruhannya bagi memahami hal ini. Allah telah melaknat mereka yang beriman dengan sebahagian Al-Quran dan kufur pada sebahagian yang lain.

Syed Qutb menjelaskan bahawa peristiwa ini mengandungi satu makna yang mendalam bahawa setiap manusia pasti melakukan kesalahan. Lihat bagaimana Haathib sebagai seorang ahli badr yang tidak perlu dipertikaikan keimanannya masih lagi melakukan kesalahan. Justeru, kita harus memahami bahawa kita dan sesipa sahaja akan tetap melakukan kesalahan walupun benar pada pandangan kita. Hal ini terjadi kerana Haathib tidak bermksud mengkhianat kerana hal tersebut dilakukannya atas dasar fitrah mahabbah insani. Keimanan dan kejujuran Haathib jelas apabila beliau mengatakan “ aku ingin mendapatkan bantuan Quraisy yang dengannya Allah melindungi keluargaku dan harta bendaku” apabila ditanya oleh baginda rasul. Jelas disini menunjukkan bahawa beliau yakin yang memelihara keluarganya ialah Allah, Quraisyun hanyalah sebagai wasilah terbaik pada pandangannya.

Keindahan dan akhlak Rasulullah yang agung tergambar dengan jelas dalam ayat ini bahawa baginda tidak terburu-buru dalam menghukum Haathib walaupun kesalahannya begitu jelas. Malahan bginda bertanya terlebih dahulu kepda Haathib dengan penuh kasih-sayang dan dada yang lapang sebab perbuatannya itu. Hal inilah yang perlu dicontohi oleh para murobbi. Haruslah mereka bertanya terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang konklusi terhadap kesalahan murobba. Mereka haruslah medengar alasan yang diberikan oleh murobba dengan dada yang lapang dan fikiran yang tajam tanpa sedikitpun perasaan prejudis. Adalah lebih baik melihat kesalahan yang ada pada diri kita terlebih dahulu tanpa menafikan kesalahan yang dilakukan mereka seperti yang telah ditunjukkan oleh nabi Sulaiman a.s. Sikap ini penting kepada seorang murobbi dalam memastikan keadaan sentiasa tenang. Sikap ini dapat mengawal sikap agresif murobba lain dalam memberikan konklusi dan solusi terhadap sesuatu masalah.

Rujukan:
i) Syed Qutb,Tafsir Fi Zilalil Quran,Jilid 22,Gema Insani
ii)Prof Dr. Hamka,Tafsir Al-Azhar Juzu’ XXVIII,Pustaka Panjimas
iii)Ahmad Musthafa Al-Maraghi, Tafsir Al-Maraghi,Jilid 28,CV Toha Putra Semarang
Sumber

Semoga Allah akan mengadakan perasaan kasih sayang antara kamu dengan orang-orang yang kamu musuhi dari kerabat kamu itu (dengan jalan menjadikan mereka insaf dan memeluk Islam). Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa (atas tiap-tiap sesuatu), dan Allah Maha pengampun, lagi Maha Mengasihani.(Surah Al-Mumtahanah ayat 7)

No comments: