Monday, March 29, 2010

Doa Seorang Kekasih

Ya Allah ku mohon Rahmat-Mu, Kerna Kau Maha Mengetahui segalanya,
Ya Rahman, hanya ku harapkan Rahmat-Mu segalanya di sebalik Takdir ini
Ya Rahim, pimpinlah hati ini, Semoga Cinta ini membawa aku kepada-Mu, dan bertambah keteguhan iman dan takwa dihati ini...




Oh Tuhan, seandainya telah Kau catatkan
Dia milikku, tercipta untuk diriku
Satukanlah hatinya dengan hatiku
Titipkanlah kebahagiaan

Ya Allah, ku mohon
Apa yang telah Kau takdirkan
Ku harap dia adalah yang terbaik buatku
Kerana Engkau tahu segala isi hatiku
Pelihara daku dari kemurkaan-Mu

Ya Tuhanku, yang Maha Pemurah
Beri kekuatan jua harapan
Membina diri yang lesu tak bermaya
Semaikan setulus kasih di jiwa

Ku pasrah kepada-Mu
Kurniakanlah aku
Pasangan yang beriman
Bisa menemani aku
Supaya ku dan dia
Dapat melayar bahtera
Ke muara cinta yang Engkau redhai

Ya Tuhanku, yang Maha Pengasih
Engkau sahaja pemeliharaku
Dengarkan rintihan hamba-Mu ini
Jangan Engkau biarkan ku sendiri

Agarku bisa bahagia
Walau tanpa bersamanya
Gantikanlah yang hilang
Tumbuhkan yang telah patah
Ku inginkan bahagia
Di dunia dan akhirat
Pada-Mu Tuhan ku mohon segala
-Doa Seorang Kekasih-InTeam-

Inikah "Jahiliyah Moden"

Katakanlah: Marilah, supaya aku bacakan apa yang telah diharamkan oleh Tuhan kamu kepada kamu, iaitu janganlah kamu sekutukan dengan Allah sesuatupun dan hendaklah (kamu) membuat baik kepada ibu bapa dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana kepapaan, (sebenarnya) Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka dan janganlah kamu hampiri kejahatan-kejahatan (zina) yang terang daripadanya dan yang tersembunyi dan janganlah kamu membunuh jiwa yang telah diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh Syarak). Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu memahaminya. (Surah Al-Anaam Ayat 151)

Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan; Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu kesalahan yang besar. (Surah Al-Isra Ayat 31)


.: Nasyid Wajah Suci-Mestica Video-ZAituAKU :.

Friday, March 12, 2010

Kuasa Dan Rahmat Allah

Dari info yang diterima:"baru atur solat istisqa' pun, Allah dh bg hujan sikit2..masa solat terus hujan,rakaat pertama lagi tu..lepas tu hujan terus menerus..sebelum Jumaat & selepas Jumaat..Allahuakba"




.:: Kuasa Dan Rahmat Allah ::.

Thursday, March 11, 2010

Takdir Yang Terhijab

Ain menarik nafas dalam-dalam. Laut yang terbentang luas di hadapan bagai menghadiahkan ketenangan buatnya. Dia memandang jauh. Sebuah kapal yang bergerak perlahan bagai membelah lautan membawa dia terbang bersama rasa takjub akan kebesaran Allah yang mengizinkan sesuatu itu bergerak atas kuasa-Nya. Siapa yang dapat menghalang seandainya Allah ingin menenggelamkan kapal itu melainkan kuasa Allah untuk menahannya dari tenggelam. Subhanallah. Zikirnya menyapa hati. Apa yang terbentang luas di hadapannya kini benar-benar membawa dia hanyut bersama rasa kebesaran Allah. Angin Laut China Selatan menyentuh pipinya, mengundang rasa nyaman yang amat. Dia nikmati rasa kebesaran Allah sehingga dirasakan hanya dia sahaja yang ada disitu saat itu. Sehingga dia lupa seseorang sedang memerhatikannya.

“Kak Ain.” Sapaan lembut dari Zahra mematikan lamunan Ain. Zahra ingin memulakan bicara. Kerana apa yang berada dalam benaknya bagai menolaknya untuk keluar. Angin yang menyapa lembut wajahnya tidak mampu mendamaikan hatinya saat itu. Dia harus luahkan.

“Ya dik…maafkan akak, akak sedang menghayati apa yang terbentang luas di depan mata sekarang ni sehingga terlupa Zahra kat sebelah...” Ain tersenyum menambat hati seorang adik. Dia benar-benar lupa yang dia bukan keseorangan. Sudah sekian lama dia tidak menghadap laut dan terbang bersama rasa takjub akan kebesaran Allah. Sehinggalah petang itu, halaqah yang dijanjikan waktunya dengan adik-adik usrahnya di tepi pantai bagai suatu nikmat baginya. Sementara menanti ahli yang lain sampai, diambilnya peluang itu untuk duduk menghadap pantai berhampiran UiTM kampus Dungun.

“Kak, boleh Zahra kongsi sesuatu dengan akak, Zahra rasa tak sanggup pendam sorang-sorang lagi.” Zahra mulakan bicara. Saat itu ingin sekali rasanya dia menghembamkan wajahnya pada bahu seorang kakak di hadapannya. Biar dilepaskan semua yang membebankan hati dan jiwanya. Namun ditahan. Biar lah dia meluahkan kata sebaik mungkin agar butir bicaranya sampai pada yang mendengar dan dia mengharapkan segugus kata yang bisa menenangkan hatinya yang berkecamuk dihempas sesuatu yang bernama kekecewaan.

“Ye dik, silakan..ceritalah..akak sedia dengar.” Ain mengubah posisi duduknya, daripada menghadap laut ke sisi menghadap seorang adik yang sedang memandangnya sayu. Ditatapnya wajah itu, ada garis kedut di dahinya. Bisik hati Ain, ‘benar, dia kini bagai menahan rasa di hati.’

“Kak, kenapa ya..walaupun kita berusaha lakukan yang terbaik, kita jaga batas syariat, kita tak lakukan apa yang Allah larang, tapi kenapa kita masih tak dapat apa yang kita impikan kak? Zahra penat menjaga, kak. Akhirnya kecewa yang Zahra dapat.” Terluah sebahagian isi hatinya. Dia bagai tidak mampu menahan sebak. Terasa menekan-nekan beban dijiwanya, membuak-buak memaksa untuk keluar.

Ain terdiam. Cuba menghayati setiap bait kata yang terucap dibibir seorang muslimah di hadapannya. Namun dia antara faham dan tidak cuba meneka, tapi akhirnya akal seorang hamba tidak lagi mampu mendalami sejauh mungkin apa yang tersirat di sebalik kata yang terluah oleh seseorang yang terbit dari hatinya. Dia terus cuba merungkai apa yang bermain di benak gadis itu.

“Dik, terus teranglah dengan akak. Apa sebenarnya yang berlaku. InsyaAllah, setiap masalah itu ada jalan keluarnya.” Ain cuba memujuk. Dia ingin kepastian. Biar kata yang mampu diucap nanti kena pada sasarannya. Dan dia ingin berkongsi rasa bukannya sekadar menjadi pendengar yang setia.

Zahra mengangkat wajahnya yang tadi tertunduk menahan sebak. Memandang laut. Bebola matanya mengecil seperti memutar semula memori lama dibenak fikiran. Lantas dialihkan pandangannya memandang tepat pada wajah seorang kakak di sisinya.

“Kak, Zahra sukakan seseorang tapi selama ni Zahra pendam sahaja perasaan itu. Zahra tak pernah luahkan. Tapi orang yang Zahra sukakan itu tahu perasaan Zahra. Dia minta Zahra banyakkan doa dan solat minta Allah beri petunjuk. Zahra turutkan kehendaknya kerana Zahra tahu dia cuba lakukan yang terbaik untuk menjaga hubungan ini. Dia juga pernah berjanji untuk hidup bersama Zahra. Kami jarang berhubung, sms pun jarang sekali. Selama ini Zahra hanya meluah rasa melalui doa seharian. Semua perasaan Zahra padanya Zahra luah pada Allah sebab Zahra yakin, hanya Allah yang mampu kabulkan keinginan Zahra. Lama Zahra menunggu dia, tapi akhirnya Zahra kecewa”. Terhenti bicaranya sebentar. Suaranya bergetar. Seketika kemudian dia menyambung.

“Apa yang Zahra dapat tahu sekarang, dia dah bertunang dengan orang lain.” Zahra tertunduk lesu. Akhirnya takungan air jernih di kelopak matanya pecah jua. Mengalir laju menelusuri pipinya lantas menitik jatuh menyentuh tangan menuju ke tanah. Dia terus menghentikan bicaranya kerana terasa dadanya tersekat dengan satu benteng perasaan sedih yang teramat.

Ain terdiam. Seorang adik di hadapannya kini rupanya sedang bergolak melawan kehendak hati. Lumrah seorang gadis sepertinya yang dihadiahkan perasaan untuk disayangi dan menyayangi. Sebelum ini dia hanya mendengar kisah konflik cinta dan perasaan dari orang lain, tapi kini adik usrahnya sendiri yang sedang bertarung dengan masalah itu. Tidak dapat tidak, dia harus membantu semampu mungkin, biar terhapus semua keresahan hati yang sedang di tanggungnya.

Ain menarik nafas sedalam-dalamnya. Memandang tepat pada Zahra yang tertunduk bisu. Lantas dicapainya tangan lembut muslimah itu,digenggamnya kemas. Biar apa yang dirasai gadis itu turut terpikul olehnya dan biar apa yang menguasai jiwanya dapat dia selami sehingga butir bicaranya nanti mampu menenangkan hati adik di hadapannya itu. Dia memandang Zahra yang tertunduk sayu. Bisik hatinya,' gadis di hadapannya ini adalah seorang yang hebat jiwanya. Kalau tidak mana mungkin dia diuji dengan sesuatu ujian sehebat ini. Bukankah Allah itu menguji hamba-Nya mengikut kemampuan?’

Ain bisikkan doa dalam hatinya. Semoga apa yang bakal terluah untuk menenangkan sekeping hati yang sedang lara, mampu menyentuh lembut lantas menyelinap masuk ke dalam qolbu gadis itu. Hanya Allah yang memberi ketenangan. Dan pada sangkaan Ain, Zahra sebenarnya bukanlah berkonflik dengan insan yang dia impikan itu, tapi Zahra kini sedang melawan kehendak hati yang dihalang sesuatu yang bernama takdir.

“Dik, akak faham situasi Zahra….dan izinkan akak mengucapkan sesuatu penghargaan buat Zahra ya..akak nak ucap tahniah buat Zahra.” Sebaris kalimah yang keluar dari mulut Ain buatkan Zahra mendongak memandangnya. Zahra keliru. Bisik hatinya, kenapa di saat dia kesedihan seorang kakak di hadapannya mengucapkan tahniah seolah-olah dia baru sahaja mengecapi sebuah kejayaan sedangkan dia kini kehilangan.

“Ya, akak nak ucap tahniah sebab Zahra sudah lakukan yang terbaik. Zahra telah meletakkan diri Zahra di tempat yang betul. Zahra tidak silap..Zahra bertindak betul. Akak kagum dengan Zahra.” Ain mengemaskan genggaman tangannya pada tangan Zahra. Dia ingin membiarkan Zahra merasakan bahawa tindakan dia selama ini dengan meletakkan dirinya di bawah kuasa Allah adalah sesuatu yang paling tepat. Dan Biar Zahra sedar, bahawa dia tidak perlu menyalahkan setiap pulangan yang Allah lemparkan buat dirinya.

“Zahra tak faham kak…Zahra keliru dengan kata-kata akak.” Luah Zahra yang sedari tadi hanya memandangnya bisu.

“Zahra, cuba tengok kat sana tu.” Ain menunding jarinya pada suatu sudut. Terlihat sepasang kekasih berpegangan tangan sedang bergurau senda sesama mereka. Apa yang terlihat di matanya kini, adalah suatu tindakan yang dimurkai Allah. Ain yakin, pasangan itu belum menikah, kerana dia kenal benar perempuan yang sedang diusik manja oleh seorang lelaki di sebelahnya. Perempuan itu adalah jirannya. Namun, dek kerana keasyikannya di manjai, dia seperti hanyut dengan dunianya sehingga dia tidak perasan kehadiran Ain.

“Zahra nampak kan apa yang akak nampak? ” Zahra mengangguk perlahan namun pandangannya kembali mengadap laut. Ain sedar disaat ini, fikiran Zahra belum dapat menerima dan menghiraukan keadaan sekitar sedang fikirannya kini bagai tenat dihambat kesedihan.

“Dik, mereka nampak bahagia kan…apa yang mereka nak, mungkin mereka sedang kecapi. Tapi akak yakin, disebalik kebahagiaan yang dipamerkan ada kemurkaan Allah di sebaliknya. Mana mungkin Allah tidak marah bila perempuan dan lelaki bersentuhan tanpa nikah..kan dik?” persoalan ain menarik perhatian Zahra. Perhatian dia pada laut beralih memandang seorang kakak di hadapannya.

“Maksud akak? ” soal Zahra yang telah diundang oleh rasa ingin tahu.

“Dik, sebab itu akak hadiahkan ucapan tahniah buat Zahra tadi. Sebabnya Zahra tidak seperti mereka. Kalau Zahra nak, dah lama Zahra lakukan seperti mereka lakukan..kan? Tapi Zahra tidak. Zahra menjaga demi sebuah ketaatan kepada Allah dan takut pada kemurkaannya kan? Inilah kejayaan besar buat Zahra sebenarnya. Zahra telah meletakkan Allah mendahului segalanya. Sebab itu Zahra tidak perlu sedih, sayang… kerana Allah telah memberi ganjaran atas sebuah ketaatan yang Zahra pertaruhkan. Bukankah begitu dik? ” Kenyataan Ain buatkan Zahra merenung sedalam-dalam matanya. Ada sesuatu yang menarik hatinya untuk mentadabbur sebentar kalimah yang meluncur laju keluar dari mulut seorang kakak di hadapannya.

“Zahra, cinta yang sebenar-benarnya cinta yang disandarkan kepada Allah seharusnya membahagiakan dik. Tiada gelisah tiada resah biarpun sebuah pengharapan yang kita semai selama ini musnah akibat tindakan kerdil seorang hamba. Namun, bagi kita itu adalah yang terbaik kerana apa lagi yang lebih penting dari berserah diri kepada Allah setelah kita berusaha dan bertawakkal sebaik mungkin pada Allah? Itulah yang sebenar-benarnya cinta. Disandarkan bulat-bulat pada Allah, pemegang mutlak hati-hati hamba-Nya. Siapa kita untk mengizinkan dan menolak perasaan kasih dan sayang terus bersemai dalam setiap jiwa hambaNya melainkan Allah yang mencampakkan rasa itu. Ya, cinta itu seharusnya membahagiakan bukan meresahkan jiwa. Seandainya meresahkan, periksa dan teliti lah semula cinta itu. Boleh jadi cinta itu bukan kerana Allah. Mungkin kerana nafsu dan kehendak semata-mata. Kerana hanya nafsu yang liat untuk tunduk pada perintah Allah sejak azali lagi. Dik, Inilah matlamat sebuah cinta. Ketenangan jiwa, kebahagiaan hidup, kelangsungan tindakan dan yang lebih penting cinta kerana Allah itu bakal mencipta satu kebergantungan yang kuat kepada Allah. Dik, orang yang kita impikan itu cuma alat. Matlamat sebenar kita dalam mengejar sebuah cinta adalah redha Allah.”

“Tapi kak…Zahra dah lakukan yang terbaik. Bukankah Allah itu akan memberi kepada setiap orang yang berusaha? Dan Zahra yakin Zahra dah lakukan yang sebetulnya. Tapi kenapa akhirnya ini yang Zahra dapat? “ Zahra persoalkan ketentuan Allah diikat dengan rasa kecewa yang belum lagi terubat lukanya.

“ Dik, disinilah Allah nak membentangkan bukti sama ada kita cintakan seseorang itu kerana Allah atau tidak. Ataukah sekadar sebuah ucapan dibibir? ” Persoalan Ain sekali lagi buatkan Zahra terkesima. Lantas dia memandang tepat pada wajah kakak di hadapannya.

“Ya dik, inilah buktinya. Seseorang yang cintakan seseorang kerana Allah, sebenarnya sedikit pun tidak mengharapkan cinta dari manusia itu, tapi dalam diam dia menanam satu pasak pengharapan yang kukuh pada Allah sehinggakan tanpa sedar dia merelakan apapun jua yang bakal Allah berikan buat dia kelak. Kerana dia yakin hanya Allah yang mampu menyebarkan rasa cinta pada orang yang selayaknya menerima. Untuk mencapai cintanya itu dia akan terus berusaha sebaik mungkin, macam mana? Pelihara cinta itu atas dasar mencari redha Allah. Jaga batasan sebaiknya dan tunaikan hak dan suruhan Allah. Apapun jua pulangan Allah buatnya, dia berserah. Seandainya tiba di pertengahan, perancanganya musnah, dan dia kehilangan apa yang dikejarnya. Namun, dia tidak gentar kerana baginya kehilangan itu tidak kemana, semuanya kembali kepada Allah. Dia tidak kesal akan kehilangan kerana baginya dia telah lakukan yang terbaik seperti yang Allah inginkan dan bukan apa yang manusia inginkan. Dan saat itu dia sedar bahawa dia menyerahkan urusan hidupnya kepada Sang pemilik ibu kunci segala kebahagiaan, iaitu Allah swt. Dik, orang yang mencintai seseorang kerana Allah, dia meletak pengharapan pada Sang Pencipta bukan pada orang yang dicipta. “ Ain sedikit tegas. Adik di hadapannya sedang berkonflik dengan ketentuan yang Allah aturkan di sebalik rasa sayangnya pada seseorang yang bernama lelaki. Biar katanya berbekas.

“Ramai orang di luar sana menggunakan nama Allah untuk perindahkan janji setia nya pada pasangannya, kononnya, kerana Allah lah dia mencintai kita. Persoalannya betul ke kerana Allah? Sedang hak Allah belum dia jaga sebaik mungkin. Kononnya sayang kerana Allah, tapi saling berhubung, ber’sms, beremail sepanjang masa, dan ada yang lebih berani keluar bersama membawa seorang teman yang tidak selayaknya menjadi ‘teman’. Itu ke kerana Allah? Benar, bibir mengucapkan nama Allah tapi di hati penuh dengan rasa asyik bersulamkan nafsu di jiwa sehingga tanpa sedar, Allah yang sebelumnya berada di tangga pertama dalam hati jatuh ke tangga terakhir sekali. Nauzubillah dik. ”

“Zahra, buka la mata hatimu sayang. Lihat sedalam-dalamnya. Akak faham situasai Zahra. Apa yang berlaku ini adalah hadiah yang terbaik Allah kurniakan buat Zahra sebenarnya. Zahra lupa ya pesan Rasulullah SAW pada kita. Boleh jadi apa yang kita suka itu membawa keburukan buat kita, dan boleh jadi perkara yang kita lari darinya, membawa seribu kebaikan buat kita. Subhanallah. Kita sangat naïf dik untuk mentafsir takdir Allah yang terhijab tebal. Walaupun kita berusaha sebaik mungkin, tapi bila Allah tidak izinkan, siapa kita untuk menghalang. Walau menangis kita air mata darah sekalipun, takkan mampu merubah takdir Allah yang Allah atur kemas dalam kalungan rahsiaNya.” Ain menutur kata dengan tenang. Setenang laut yang terbentang luas di hadapan mereka. Hanya kadang kala laut itu bergelora dek hempasan ombak yang memukul. Ya, seperti pantai, adakalanya hati-hati ini perlu digoncang, biar tersedar dari lamunan yang panjang.

“Dik, cuba pandang pada kapal besar di sana tu. Atas kuasa Allah, kapal itu mampu timbul bergerak membelah lautan. Dan atas kuasa Allah jua kapal itu mampu tenggelam dalam sekelip mata sahaja. Walaupun dia atas kapal itu ada pelbagai alat digunakan untuk mengelakkkan kapal itu dari karam, tapi saat Allah menurunkan takdirnya menenggelamkan kapal itu, siapa yang mampu menghalang? Tiada siapa dik. Persoalan yang boleh kita timbulkan, kenapa Allah tenggelamkan kapal itu sedangkan mungkin ramai orang yang soleh berada di atas kapal itu? Tidak adilkah Allah?” Bergetar suara Ain sewaktu menutur kata mempersoalkan hak Allah. Biarlah, biar kata-kata itu mampu menjentik akal untuk berfikir. Ain ingin sekali membuka mata hatinya dan hati adik di hadapannya untuk dia sama-sama melihat takdir Allah yang Allah sentiasa hijabkan dari pandangan manusia yang dhaif.

Zahra perlahan-lahan menggelengkan kepalanya. Dia menjawab sendiri dalam diam. Hatinya kini rasa terpukul dengan persoalan yang meluncur laju dari bibir seorang kakak di hadapannya. Iya, benar. Takdir Allah mendahului segalanya. Biar sehebat mana pun perancangannya, namun Allah Maha Besar lagi hebat perancangannya. Zahra akui tentang itu.

Zahra memandang buih-buih yang timbul di permukaan air. Memutih di atas hamparan pantai, cantik bak ukiran indah pada sehelai kain yang bersih. Beralun-alun dibuai ombak. Matanya asyik memerhati buih-buih putih yang hilang dan kemudian timbul lagi, namun hatinya terbang bersama rasa sebak. Ada satu persoalan yang tertancak kemas meminta dia merungkainya. ‘Betul ke selama ini dia bergantng harap pada Allah? Atau dia hanya ditipu dek indahnya rasa cinta pada seseorang. Mungkin. Bisik hatinya lagi. Benar kata-kata kak Ain tadi, cinta itu seharusnya membahagiakan kalau ianya betul-betul kerana Allah. Tapi kini terbukti cinta itu buatkan dia merasa kecewa. Benarlah, selama ini ketaatan dia pada Allah bukanlah sebenar-benarnya ketaatan, tapi dinodai oleh perasaan.’

“Ya Allah…. ” Zahra menutup wajahnya dengan kedua-dua tangannya. Rasa bersalah memenuhi ruang jiwanya. Dia sedih atas apa yang telah dia lakukan. Kata-kata kakak di sebelahnya betul-betul membuka pintu hatinya melihat rahsia yang Allah tabirkan melalui setiap kejadian.

“Zahra… ” Ain menyapa lembut adik di hadapannya setelah dibiarkan seketika Zahra bermonolog sendirian. Dia mengusap-usap bahu Zahra, biar adik itu merasa ketenangan disaat dia sedang dihambat rasa yang sukar dimengerti.

“Kak…betul kata akak…ya, mungkin Zahra tidak sepenuhnya bergantung pada Allah. Ketaatan Zahra itu kerana manusia, dan bukannya lahir ikhlas kerana Allah. Sekarang Zahra sedikit rasa lega kak dan Zahra baru faham, apa itu yang dinamakan cinta manusia kerana Allah. Ya, cinta kerana Allah itu seharusnya membahagiakan dan bukannya kecewa seperti apa yang Zahra rasakan...hmm..” Sekali lagi air jernih menitis perlahan menuruni pipi putih bersih gadis itu. Cepat jari-jarinya menyeka air mata dari terus mengalir. Dia memandang ke arah kapal di lautan luas terbentang yang semakin mengecil dari pandangan. Perlahan-lahan dia menarik nafas. Terasa sejuk menjalar di segenap ruang urat saraf. Laut yang terbentang luas di hadapannya kini baru dirasakan terlalu bermakna baginya.

“Kak, hebatkan Allah? ” Zahra masih tidak mampu menahan air matanya dari jatuh. Malah untaian jernih itu bagai meluncur laju selaju air di empangan yang pecah. Turun bersama rasa taajub akan kebesaran Allah yang menjadikan sesuatu itu Maha Indah andai dimengerti dengan mata hati. Ain mengangguk perlahan. Hatinya juga beristighfar lembut disulam rasa syukur pada Allah kerana dalam diam, seketul hati ini akhirnya tunduk dan sujud pada takdir Allah yang berseni. Ya, dia mengakui bahwa Allah itu Maha Hebat sehebat ciptaanNya. Subhanallah.

Zahra mencapai tangan Ain, digenggamnya kemas. Kejap. Dipandangnya seorang kakak di hadapannya dengan penuh rasa cinta. Hatinya tenang, setenang wajah milik kakak di hadapannya. Dia ingin menuturkan sesuatu. ‘Selayaknya dia mendapatkan ucapan ini’ getus hati Zahra.

“Kak, terima kasih atas kata-kata nasihat akak. Alhamdulillah, hati Zahra rasa tenang sekarang. Zahra akui hati ini tidak mampu melihat kebenaran andai disulamkan dengan rasa riak dalam mentafsir takdir Allah. Dan sesuatu yang Zahra belajar hari ini adalah, cinta kerana Allah itu adalah membahagiakan bukan menyeksakan. Hmm..terima kasih kak” Zahra mengucapnya penuh ikhlas dari hati. Ingin sekali dia memeluk muslimah di hadapannya.

“Dik, Alhamdulillah. Allah pemilik mutlak hati ini. Dia yang mencampakkan ketenangan dan membuka hati Zahra melihat kebenaran. Akak cuma perantara sahaja dik. Apa yang berlaku juga menjadi manfaat untuk akak. Ya, akak bukanlah orang yang terbaik untuk Zahra, tapi akak cuba berada pada landasan orang yang pernah ‘jatuh’ suatu ketika dahulu dalam usaha mentafsir takdir Allah. Dan sekarang akak cuba ‘berdiri’ lagi. Merenung dan mencari setiap apa yang Allah aturkan, cukup berseni, hanya tinggal hambaNya sahaja mengambil peluang merenung dengan mata hati.” Ain meluahkan rasa. Ya, apa yang berlaku juga membuka mata hatinya melihat takdir Allah yang terhijab seni tanpa diduga oleh akal insan yang dhaif sepertinya.

Sedang mereka berdua berkongsi rasa, dua ekor anak ketam bekejaran menarik perhatian mereka. Binatang kecil itu bagai berebut sesuatu, seketika kemudian berlari bekejaran masuk ke dalam lubang. Mengintai-ngintai di celahan. Namun hilang di sebalik simbahan ombak yang datang tanpa diundang. Setelah ombak pergi, hilang sudah jejak lubang-lubang milik binatang kecil itu, seketika kemudian timbul lagi dua ekor anak ketam keluar di sebalik pasir yang memutih.berlari-lari dihadapan dua orang muslimah yang sedang menghambat rasa. Binatang kecil itu bagai berdrama di hadapan mereka berdua. Mencuit hati Zahra dan Ain.

“Zahra, setiap apa yang Allah pertontonkan kepada kita, ada hikmahnya. Beruntung sangat buat mereka yang melihat dan mentafsir sesuatu kejadian itu dengan mata hati. Akak teringat golongan yang dimaksudkan oleh Allah sebagai golongan orang-orang yang berakal. Zahra nak tau siapa golongan itu?”

Zahra menganggukkan kepalanya perlahan. Ain memandang jauh, matanya terlekat pada seekor burung yang sedang bertenggek di atas perca kayu di hadapannya. Namun fikirannya jauh menerawang dan berhenti tatkala teringat baris-baris makna ayat dari Qalam suci.

Dibacanya lembut dengan penuh perasaan.

“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi serta pergantian siang dan malam, terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal. Iaitu orang-orang yang mengingati Allah ketika duduk, berdiri dan berbaring, mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi seraya berkata; Ya Allah, tidaklah Engkau menciptakan sesuatu itu dengan tidak sia-sia, Maha Suci Engkau, peliharalah kami dari azab api neraka, Ali Imran ayat 190 sehingga 191.”

Zahra kusyuk mendengar. Seketika kemudian dia mengukir senyum lantas dihadiahkan buat seorang kakak di sisinya. Disambut mesra oleh Ain. Dia kembali semula mengadap laut. Burung-burung berterbangan bagai menari-nari menghiburkan hatinya. Dan nun jauh di sana, kapal itu terus berlayar dengan tenang. Dadanya kini terasa kosong. Zahra kini semakin mengerti.

...dan Ain,

Ain membisikkan sesuatu dalam hatinya. ‘Subhanallah, tidak Engkau ciptakan ini semua dengan sia-sia ya Allah. Ada hikmah di sebalik takdir yang Engkau tabirkan. Kapal yang belayar di tengah lautan, burung-burung yang berterbangan, buih-buih laut yang memutih, anak-anak ketam yang berkejaran, cinta yang bahagia di sebalik kemungkaran serta cinta yang tergendala di sebalik ketaatan, semua itu membuatkan dia semakin taajub akan kebesaran Allah. '

Sesungguhnya rahsia Allah cukup terseni, dan hari ini membawa suatu yang baru menuntut dirinya mengerti, iaitu pada takdir Allah yang terhijab. Dari..

Friday, March 5, 2010

Iman dan Rahmat Allah











Wednesday, March 3, 2010

Terimalah Seadanya Kerana Dia Insan Biasa

Kepercayaan Yang Meruntuhkan Akidah Muslim

Sesuatu yang terlepas pandang yang berlaku dalam kehidupan harian, perkara yang remeh temeh tapi membawa makna yang besar dalam akidah seorang muslim.