Showing posts with label amal. Show all posts
Showing posts with label amal. Show all posts

Tuesday, June 1, 2010

Antara Kejahatan dan Larangan Yang Dibenci oleh Allah S.W.T

Antara larangan, kejahatan Yang di benci oleh Allah S.W.T yang terkandung di dalam Surah Al-Isra antaranya:

1"Dan berikanlah kepada kerabatmu dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau." Ayat 26

2"Dan janganlah engkau jadikan tanganmu terbelenggu di lehermu dan janganlah pula engkau menghulurkannya dengan sehabis-habisnya, kerana akibatnya akan tinggallah engkau dengan keadaan yang tercela serta kering keputusan." Ayat 29

3"Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan; Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu kesalahan yang besar." Ayat 31

4"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)." Ayat 32

5"Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan warisannya berkuasa menuntut balas. Dalam pada itu, janganlah dia melampau dalam menuntut balas bunuh itu, kerana sesungguhnya dia adalah mendapat sepenuh-penuh pertolongan (menurut hukum Syarak)" Ayat 33

6"Dan janganlah kamu menghampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik (untuk mengawal dan mengembangkannya), sehingga dia baligh (dewasa, serta layak mengurus hartanya dengan sendiri) dan sempurnakanlah perjanjian (dengan Allah dan dengan manusia), sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya." Ayat 34

7"Dan sempurnakanlah sukatan apabila kamu menyukat dan timbanglah dengan timbangan yang adil. Yang demikian itu baik (kesannya bagi kamu di dunia) dan sebaik baik kesudahan (yang mendatangkan pahala di akhirat kelak)." ayat 35

8"Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya." Ayat 36

9"Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang." Ayat 37

Semoga mendapat manfaat dan diamalkan bagi meneruskan kembara menuju negeri abadi.

Monday, April 19, 2010

Mukashafah Qulub (Penenang Jiwa)

Mahabbah (Cinta)
Al-Junaid mengatakan, “Allah mengharamkan mahabbah bagi orang yang masih mempunyai hubungan dengan yang lain.” Dia juga berkata, “Setiap mahabbah meminta pengorbanan. Jika tidak berkorban, bererti tidak memiliki mahabbah.”
Pengorbanan yang besar dan berat ada dalam diri, melawan hawa nafsu, memupuk sifat mahmudah, memgikis mazmumah diri, memerlukan mujahadah melawan godaan dan tipuan duniawi,..mampukah aku melawan bisikan-bisikan musuh itu...

“Tanda orang yang cintakan Allah, sentiasa bersemangat dan cergas melakukan amal ibadah dan hatinya tidak pernah lalai dan letih daripada mengingatiNya.”-Imam al Junaid r.a-

Zun-Nun mengatakan, “Katakan kepada orang yang mengaku mahabbah kepada Allah. Takutlah engkau dikuasai selain Allah !”

Di tanyakan kepada Asy Syibli, “Jelaskan kepadaku tentang orang arif dan muhib ?” Dia berkata, “Orang arif suka berbicara hanyut dan orang muhib jika diam hanyut.”

Jawapan Cinta
Ibnu Al-Jilla ra berkata, “Allah swt memberi wahyu kepada Isa as.”
“Sungguh jika Aku telah kasih kepada seseorang, maka tidak-Ku temukan di situ cinta dunia dan akhiratnya. Ku penuhi dia dari cinta kepada-Ku dan Ku buat ia selalu mengingat-Ku.”

Allah swt mewahyukan kepada Nabi Daud as.:
“Banyak orang mengaku cinta kepada-Ku, pada hal sebenarnya bohong belaka. Bagaimana tidaknya, ketika malam mulai kelam ia malah tidur meninggalkan Aku. Bukankah orang yang jatuh cinta ingin selalu berjumpa dengan kekasihnya ?. Inilah Aku ! Aku hadir dihadapan orang-orang yang mencari-Ku.”

Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesungguhnya Tuhan Yang Maha Suci dan Maha Tinggi berfirman: "Demi kemuliaan dan kebesaranKu! Aku tidak akan mengeluarkan dari dunia (mematikan) seseorang - yang Aku hendak mengampunkan dosanya sehingga Aku sempurnakan balasan tiap-tiap kesalahan yang ditanggungnya, dengan ditimpakan penyakit pada badannya, dan kepicikan pada rezekinya."

Kata-Kata Cinta:
Ibrahim bin Adham berkata, “Ya Tuhanku, Engkau tahu, di mataku Syurga tidak mengimbangi sayap nyamuk di banding kemuliaan yang Engkau telah berikan kepadaku dari mahabbah kepada-Mu, suka mengingat-Mu serta tafakkur tentang keagungan-Mu.

Rabiah Al Adawiah berkata, “Siapa yang dapat menunjukkan, di mana kekasihku?” Khadimnya berkata, “Kekasihku bersamaku. Tetapi dunia menghalanginya.”

Jika aku sujud kepada Mu kerana gerun dengan api neraka Mu maka bakarlah aku didalamnya, dan jika aku sujud kepadaMu kerana tamakkan syurga Mu maka halanglah aku daripadanya,tetapi jika aku sujud kepadaMu kerana kecintaanku kepadaMu maka kurniakanlah aku balasan yang besar (Rahmat disisi-Mu)-Rabiatul Adawiyah-

Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepadaMu cintaMu dan cinta orang-orang yang mencintaiMu dan aku memohon kepadaMu perbuatan yang dapat mengantarku kepada cintaMu. Ya Allah, jadikanlah cintaMu lebih kucintai daripada diriku dan keluargaku serta air dingin.” (HR Tirmidzi)

Berkata Zulaikha “Wahai Yusuf! Aku mencintai kamu sebelum aku mengenali-Nya. Tetapi setelah aku mengenali-Nya, tidak ada lagi kecintaan kepada selainNya, dan aku tidak mahu sebarang gantian”. (Ihya’ Ulumiddin, Imam al Ghazali Jilid 5 H: 225)

Cinta Bukan Ungkapan, Ia Dirasai
Perhatianku tertumpu kepada jalan sufiah. Adalah sangat jelas bahawa jalan ini tak akan dapat ditempuh melainkan dengan ilmu dan amal. Ianya mesti ditempuh menerusi tahapan batin dan dengan membersihkan diri. Hal ini perlu untuk mengosongkan batin dan kemudian mengisinya dengan zikir kepada Allah Taala. Bagiku, ilmu lebih mudah daripada amal. Maka segeralah aku memulai dengan mempelajari ilmu mereka, membaca kitab2 mereka, diantaranya kitab Qutub Al-Qulub karangan Abu Talib Al-Makki ra dan kitab2 karangan Al-Haris Al-Muhasibi ra serta ucapan Al-Junaid ra, Al-Syibli ra, Abu Yazid Al Busthami ra dan lain2. Dengan itu dapatlah aku memahami tujuan mereka. Penjelasan lebih jauh aku dengar sendiri dari mulut mereka. Yang lebih dalam lagi hanya dapat dicapai dengan zauq (rasa pengalaman batin), pengalaman dan perkembangan batin. Jauh sekali perbezaan antara mengetahui erti sihat atau kenyang dengan mengalami sendiri rasa sihat atau kenyang itu. Mengalami mabuk lebih jelas daripada hanya mendengar keterangan tentang ertinya, padahal yang mengalaminya mungkin belum mendengar sesuatu keterangan tentang demikian itu. Seorang doktor yang sedang sakit, tahu banyak tentang sihat, tetapi ia sendiri sedang tidak sihat. Tahu erti dan syarat2 zuhud tidaklah sama dengan bersifat zuhud. Yang penting bagi mereka adalah pengalaman dan bukan perkataan. Apa yang dapat dicari dengan ilmu telah ku capai. Selanjutnya, harus dengan zauq dan suluk (menempuh perjalanan batin).”
-Imam Al Ghazali-

Cinta itu bukan hanya ungkapan, bukan mengikat, bukan memiliki, kerana disitulah ia bermula, disitulah ia hidup bersama hembus nafas...

"Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu dan anak-anak kamu dan saudara-saudara kamu dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu dan kaum keluarga kamu dan harta benda yang kamu usahakan dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka)."(Surah At-Taubah Ayat 24)

Wednesday, May 27, 2009

Sekeping Hati

PERKEMBANGAN jiwa dan watak manusia mempunyai hubungan rapat dengan kedudukan dan bentuk hati (qalbu) yang dimilikinya. Secara umumnya hati atau jiwa manusia itu memiliki sifat hidup dan mati.

Bagi hati yang suci dan hidup (qalbun sahih) maka ia akan membawa tuannya ke jalan selamat di mana kemurniaan ubudiyahnya meletakkan seluruh aktiviti kehidupan hanya untuk Allah SWT. Bagi hati yang keji dan mati (qalbun Mayyit) pula akan membawa tuannya ke arah kebinasaan dengan menjerumuskannya ke dalam tuntutan nafsu syahwat yang penuh kejahilan sehingga lupa menyembah Allah SWT selaku khaliqnya.

Di antara kedua-dua jenis hati itu, ada pula hati Qalbun Maridh (hati yang sakit) yang masih lagi memiliki nur keimanan tetapi berada dalam keadaan yang samar kerana tidak berupaya berhadapan dengan desakan hawa nafsu.

Dalam penelitian kaum sufi, qalbu disebut sebagai nurani kerana ia memiliki kesedaran antara baik dan buruk.
Firman Allah SWT yang bermaksud, “Kemudian Kami jadikan al-Quran itu diwarisi oleh orang yang kami pilih dari kalangan hamba kami; maka di antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan tidak mengindahkan ajaran al-Quran), dan di antara mereka ada yang bersikap sederhana, dan di antaranya pula ada yang mendahului orang lain dalam berbuat kebajikan dengan izin Allah.Yang demikian itulah limpah kurnia yang besar dari Allah semata-mata” (surah Fathir:32).

Berdasarkan ayat ini Syeikul Islam Ibnu Taimiyyah membahagikan manusia kepada tiga darjat kedudukan:

Golongan Zhalimun Linafsih
Iaitu golongan yang sentiasa menzalimi dan menganiaya dirinya. Mereka adalah golongan yang derhaka kepada Allah SWT, meninggalkan perintah (suruhan dan larangan) serta mengerjakan kejahatan (kemungkaran).

Golongan Mukhtasid
Iaitu golongan manusia darjatnya pertengahan dengan sifatnya cermat, berhati-hati dengan melaksanakan kewajipan dan menjauhi laranganNya.

Golongan Sabiqun Bil-Khairat
Iaitu golongan yang sentiasa aktif dan proaktif dalam melakukan dan mengerjakan kebaikan. Golongan ini tinggi kerohaniannya di mana mereka tidak hanya menunaikan kewajipan, sebaliknya melakukan amalan sunat, tetap istiqamah melaksanakan perintah (suruhan dan larangan) serta meninggalkan perkara yang syubhat dalam kehidupannya.

Sayid Sabiq pula telah membahagikan kekuatan kerohanian manusia kepada tiga tingkat, iaitu;

1-Nafsu amarah iaitu tingkat nafsu insan paling rendah dan hina yang hanya mengutamakan desakan atau dorongan hawa nafsu semata-mata serta godaan syaitan.

2-Nafsu Lawwammah iaitu nafsu yang dapat mengawal amal salih serta gemar menegur atau mengkritik diri apabila terjerumus ke dalam lembah kemungkaran.

3-Nafsu Mutmainnah iaitu tingkat kerohanian insan paling tinggi dan luhur. Ini adalah jiwa yang tenang lagi suci dalam keadaan kekal melakukan kebaikan amal salih.

Menurut Iman al-Ghazali, proses penyucian diri (tazkiah al-nafs) untuk mencapai tahap nafsu yang diredai seperti tahap nafsu di atas dapat diperoleh melalui jalan ilmu dan beramal. Tazkiyyah al-nafs mengandungi dua keadaan iaitu membebas (mengosongkan) diri dari sebarang sifat mazmumah (keji) mengisi (menghiasi) jiwa dengan sifat mahmudah (mulia).

Ilmu tasawuf berkaitan dengannya. Dalam pengertian ilmu, tasawuf bermaksud mensucikan qalbu dan menjernihkan roh agar dapat merasai limpahan cahaya ilahi. Amalan tasawuf dibangunkan di atas latihan kerohanian (riyadhat ruhiyyah). Pengamalan dan penghayatan tasawuf adalah bermatlamatkan ibadat dan zuhud semata-mata.

Sesungguhnya kesejahteraan, kedamaian dan kebaikan jiwa insan mukmin itu bergantung kepada tazkiyyah al-nafs. Nafsu pada hakikatnya adalah penggerak tingkah laku yang cenderung kepada sama ada kebaikan atau kejahatan. Allah mengilhamkan kepada jiwa insan itu dua ilham - ilham berbentuk fujur iaitu jalan yang membawa insan ke arah kesejahteraan dan ilham berbentuk takwa iaitu jalan yang membawa manusia ke arah kebaikan dan amal soleh.

Dua bentuk jalan ini terkandung dalam firman Allah SWT yang bermaksud,
Demi diri manusia dan yang menyempurnakan kejadiannya serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertakwa.Sesungguhnya berjayalah orang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu susut dan terbenam kebersihannya dengan sebab kekotoran maksiat “ jiwanya” (surah Asy-Syams:7-10).

Sifat qalbu (hati/jiwa) sering berbolak-balik dan sering berperang antara nafi dan isbat. Dalam ayat 1, surah Alam Nasyrah digunakan kata `sadr' yang bererti “dada” untuk menggambarkan suasana hati (jiwa). Keadaan ini menjelaskan bahawa hati manusia itu bersifat tidak konsisten atau berbolak-balik.

“Perang batin” ini tidak akan berkesudahan selagi ia tidak mencapai kepada keyaqinan (aqidah/keimanan) yang teguh. “Perang batin” ini dapat dirasai ketika manusia ingin melakukan ibadat seperti solat, puasa, berzakat, berjihad dan sebagainya. Untuk mencapai keyaqinan maka jihad melawan hawa nafsu perlu dilaksanakan oleh manusia dan inilah yang sering disebut sebagai “jihad besar”.

Jihad melawan hawa nafsu inilah yang menjadi manhaj (jalan) mengenal Allah SWT. Qalbu (hati) perlu dijaga kerana pengaruhnya terhadap diri dan kehidupan bermasyarakat (bernegara) amat jelas; jika baik hati individu itu maka baiklah amalannya, sebaliknya jika kotor jiwa individu itu maka buruklah amalannya.

Sebuah hadis nabi bermaksud, “Ketahuilah bahawa dalam jasad itu ada seketul darah (daging), apabila ia bersih, maka akan bersihlah tubuh badan semuanya dan apabila ia rosak (keji) maka akan rosaklah seluruh tubuh itu, Ketahuilah itulah hati” (Muttafaqun `Alaih).

Dalam masyarakat Melayu sering kita mendengar kata-kata seperti ‘Hati Iblis’, ‘Hati Yahudi’,’Hati Malaikat’ dan seumpamanya. Semua bentuk gelaran hati ini melambangkan keperibadian pemiliknya. Hati yang kotor (keji) boleh menjadi hijab kepada ‘Nur Ilahi’.

Qalbu (hati) terang bercahaya menjadi nur (pelita/cahaya) kepada manusia menempuh jalan baik dan haq. Al-Quran itu sendiri diturunkan menjadi huda lil muttaqin (petunjuk kepada hati yang bertakwa).

Justeru, hati mesti dibersihkan melalui jalan tarbiyyah rabbani ke dalam jiwa mukmin yang mampu dilakukan melalui amal ibadat yang dicontohkan oleh nabi dan sahabatnya serta para tabiin. Al-Quran menegaskan, “Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Tuhan semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan jangan engkau mematuhi orang yang kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran kami di dalam al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah lakunya pula adalah melampaui kebenaran” (surat al-Kahfi:28).

Hawa adalah kecenderungan nafs kepada syahwat. Ia adalah ciri tingkah laku negatif yang merosakkan kehidupan manusia. Ia menyukai, menyenangi dan merindui terhadap perkara yang dihajati atau dikehendakinya oleh syahwah.

Syahwah adalah kalimat dalam al-Quran yang menggambarkan keinginan insan terhadap keseronokan, kelazatan dan kesenangan (surah Maryam:4). Ia juga bermaksud fikiran tertentu yang cenderung ke arah melakukan kejahatan dan penyelewengan ( An-Nisaa:27) dan syahwah juga bermaksud perilaku terhadap seks ( An-Naml:55).

Untuk mencapai kebahagiaan, kedamaian dan ketenangan hati maka manusia perlulah mengikis penyakit hati yang bersarang di jiwanya.