Thursday, September 30, 2010

Sudikah Kau Terus Menjadi Iman Disetiap Solatku


Satu ketika kau bertanya..

sudikah kau menjadi Makmum
disetiap solatku..
agar solatku lebih bermakna
dan terjaga hendaknya..

sudikah kau menjadi Penjaga
diri dan maruahku
agar hidupku lebih tenang dan bahagia

sudikah kau menjadi Pendidik
hati dan jiwaku
agar rohaniku terisi hikmahNya
dan akhlakku terjaga hendaknya

sudikah kau menjadi Pemerhati
setiap gerak dan langkahku
agar aku tahu mana salah dan buruk lakuku

sudikah kau menjadi Peneman
di kala suka dan duka ku
agar satu hari, jika ujian itu dtg
air mataku ada yg menghapuskan..

sudikah kau menjadi Pembela
diriku dan agamaku
agar aku terus berada di atas jln yg benar

sudikah kau menjadi Penggerak
semangatku..
agar bila aku kelesuan
kau mampu memberi bantuan
walau hanya sekadar senyuman

Sudikah kau menjadi Sahabat
buat diriku..mendengar luahan hatiku
agar aku boleh berbicara apa sj dgn mu
tnpa rasa ragu..

Sudikah kau menjadi Penghibur
tika ku kesunyian
agar aku boleh ketawa riang

Satu ketika aku menjawab...

"Ya, Aku sudi..
Kerana kau pilihanku kerana ILLAHI
dan Kau juga memilihku kerana petunjuk RABBI"

Tetapi,
aku kembalikan soalan ini kepadamu..
sudikah kau terus menjadi IMAM di setiap SOLATKU?
jika aku sudah tidak seperti dulu?

Sudikah kau pula menjadi
Imam, Penjaga, Pendidik
Pemerhati, Peneman, Pembela
Penggerak, Sahabat dan Penghiburku
Jika suatu ketika nanti
aku sudah tidak mampu lagi menjadi
Makmum di setiap solatmu..

Jika aku sudah tidak mampu lagi
menjagamu,
menemanimu
memerhatikanmu,
mendidikmu
membelamu,
menggerakkanmu
menjadi sahabatmu dan
menghiburkanmu
Sudikah kamu wahai .....................?

Aku percaya..kau masih sudi..
"Kerana Aku pilihanmu kerana ILLAHI
dan Aku juga telah memilihmu kerana petunjuk RABBI"

Monday, September 27, 2010

Surat Cintaku Buatmu

Tersentuh,terharu...airmata mengalir makin laju setelah membaca ayat demi ayat ,perenggan ke perenggan,..berulang kali aku ulang membaca...lalu diri bertanya ikhlaskah cinta yang ada dihati ini?...Hanya mampu kumohon dari Mu Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepadaMu cintaMu dan cinta orang-orang yang mencintaiMu dan aku memohon kepadaMu perbuatan yang dapat mengantarku kepada cintaMu. Ya Allah, jadikanlah cintaMu lebih kucintai daripada diriku dan keluargaku serta air dingin. Ya Allah aku yakin Engkau takdirkan ini yang terbaik untukku dan aku mohon redha dan rahmat Mu sepanjang kembara ini untuk aku kembali kenegeri-Mu yang abadi...amin

Perkongsian buatku dan buatmu.......(surat cinta yang telah diedit)


Istimewa buatmu,
Ku mulakan tulisan ini dengan rintihan kepada Allah. Mudah-mudahan rintihan ini menjadi rintihan mu juga.Ya Allah… aku yakin apa yang Kau takdirkan ini adalah yang terbaik buat dunia dan akhirat kami. Mudah-mudahan keluh-kesah, resah-gelisah kami menerima ketentuan-Mu ini, Kau ampuni dan dikira sebagai bukti lemahnya kami sebagai hamba-Mu yang berdosa. Semoga kesedihan dan kebimbangan kami dalam waktu-waktu tertentu dalam menempuh ujian ini dinilai sebagai langkah menuju-Mu di jalan mujahadah.Kami lemah ya Allah… namun Kami tetap yakin Kau menguji kami ini dengan maksud baik. Kau tidak akan menimpakan kesusahan di luar kemampuan kami menanggungnya. Kami berdoa ya Allah… ujian ini menjadi tebusan pada dosa-dosa kami yang lalu, kini dan akan datang. Sesungguhnya kami ini hamba ya Allah… ujian inilah yang menusuk ke hati lalu mengetuk pintu rasa yang selama ini sudah semakin alpa bahawa kami ini hakikatnya hanyalah seorang hamba yang hina.

Syukur ya Allah … kerana Kau anugerahkan rasa yang termahal ini di celah-celah kepahitan dan penderitaan. Jika tidak kerana ini, kami akan terus lalai, terbuai-buai dan akhirnya mati tanpa merasai hakikat cinta-Mu yang sebenar. Cebisan cinta suci dan sejati ini mudah-mudahan akan hidup subur dan mampu menghidupkan hati kami yang semakin mati.

Buatmu,
penjelasanmu telah kudengar, Terima kasih. Mendengarnya seperti menuturkan kata2 hatiku. Aku tidak tahu lagi siapa yang sebenarnya mendengar, siapa lagi yang sebenarnya memahami… kerana penjelasanmu adalah suara hatiku… suara hati kita bersama! Aku cuba tenang di sini kerana aku yakin kau telah menerima hakikat ini dengan tabah dan bijaksana.Perpisahan sebenar bukanlah kerana jarak tetapi oleh retaknya hati. Perpisahan ini sesungguhnya mendekatkan hati dan menyuburkan cinta kita. Kita akan semakin rapat oleh perpisahan ini… insya Allah. Yakinlah kita akan bertemu dalam suasana yang lebih indah dan lebih manis. Perpisahan ini adalah harga kepada saat yang pasti tiba itu, insya Allah.

Aku pergi menuju Allah… memperbaharui langkahku, menguatkan jiwakku untuk memburu kecintaan-Nya… dan dengan itu aku akan mencintaimu dengan cinta yang lebih suci. Kau ikutlah disisiku sayang… di jalan baru yang belum tentu berapa pula likunya. “Maniskanlah malam-malammu dengan solat dan munajat. Dan sibukkanlah siangmu dengan penuh tanggung jawab dan bersemangat.

Kita dipaksa berpisah untuk “dijemput” ke daerah tauhid dan syariat-Nya dengan bersungguh-sungguh. Selama ini kita terlalu banyak berlakon-lakon dan bermain-main dengan berbagai alasan dan kemalasan. Aku gembira dengan “paksaan” ini walaupun suntikannya sakit dan ubatnya pahit.”Hadapilah kenyataan yang sudah termaktub sejak azali ini. Kesedihan dan air mata tidak akan meredakan hati apalagi menyelesaikan masalah. Aku sentiasa berdoa untukmu:

“Ya Allah…
Ampunilah dosa-dosanya sepertimana aku telah redha dan memaafkan semua kesalahannya. Kuatkanlah iman dan taqwanya… dengan Kau suburkan selalu dihatinya rasa hina, berdosa, jahil, lemah, miskin dan berharap terhadap-Mu.“Ya Rahim…
Berilah dia kekuatan dan kesabaran dalam dia melayari hidup sebagai daie/murabbi. Agar ditangannyalah nanti ummah yang soleh dan solehah. Tertegaknya daulah islamiah. Bimbinglah kemarahannya, kebijaksanaannya, kesabarannya, kelembutannya, hukumannya dan segala-galanya dengan seimbang, agar dia terdidik untuk mendidik.”

“Ya Rahman…
Maniskanlah akhlaknya semanis wajahnya. Hiasilah kata-kata dari lidahnya dengan kebenaran dan kelembutan, seperti Kau telah hiasi matanya dengan kecantikan. Berilah kecantikan dan keindahan hakiki padanya dengan direzekikan taqwa yang sejati.”

“Ya Rabbi…
Lembutkan hatinya agar mudah dia mengadu-ngadu pada-Mu. Lenturlah jiwanya agar ia mudah merayu-rayu dan meminta-minta pada-Mu. Haluskanlah perasaannya agar dia mampu menangis dan merintih-rintih pada-Mu.

Murabbiku,
Hikmah ujian yang menimpa kita terlalu banyak. Ia ubat dan baja kehidupan yang telah kita bina sekian lama. Cinta kita sesungguhnya tidak pernah berubah… tetapi ia perlu kemanisan dan hiasan baru supaya serinya bertambah.Cinta kita kuat getarannya, namun kurang matang. Kita terlalu menurutkan perasaan. Baik aku mahupun kau kekadang tersasar kerana “terlalu” cinta. “Terlalu” menjerumuskan kita ke jurang “melulu”. Bila melulu kita akan lepas dari kendali cinta sejati – Allah!

Ramai pasangan berpisah kerana putus cinta. Namun ada juga yang terpisah kerana terlalu cinta. Bila cinta telah terputus dari cinta Allah, maka cinta itu akan kehilangan daya untuk bercinta dengan cinta-cinta yang lain. Ia akan layu, kesepian dan keseorangan. Pada yang begini… pertemuan pun masih perpisahan. Tapi bila cinta itu diikat oleh cinta Allah, maka perpisahan pun bererti pertemuan.

Allah telah selamatkan kita dari perpisahan kerana terlalu cinta. Dan perpisahan itu tak akan boleh kita cari-cari atau rancang-rancang kecuali dengan satu peristiwa yang kita tidak sangka. Itulah rahmatnya perpisahan yang tidak diminta dan dijangka ini pada cinta kita.

Yang lebih penting lagi ujian ini sebagai satu “reaksi berantai” kepada semua yang ada ikatan dengan kita supaya bergantung dengan Allah semata-mata. Jangan kita bergantung dengan selain Allah. Makhluk yang terikat dengan kita atas nama – suami, isteri, ibu, bapa, anak, adik, abang, kakak, saudara, sahabat atau apa sahaja akhirnya akan musnah jua. Musnah sementara dan akan musnah abadi. Tegasnya, perpisahan ini adalah cara Allah “mencantas” pergantungan hati kita dengan suami, isteri, ibu, bapa, anak-anak dan sanak-saudara. Hakikatnya saat itu pasti tiba. Mati boleh terjadi bila-bila.

Ketika itu jika hati kita tidak bersedia… pedih dan sakitnya tentu terlalu. Mungkin hilang kewarasan, mungkin luntur semangat untuk meneruskan hidup dan paling khuatir terhakis atau tercabutnya iman.

Murabbiku… bergantunglah pada Allah kerana hubungan kita dengan-Nya tidak akan di celah istilah janda, duda dan yatim, sedangkan hubungan kita sesama manusia tidak dapat tidak pasti akan diputuskan oleh mati. Justeru itu… anggaplah perpisahan ini satu persediaan untuk menghadapi saat mati yang sudah pasti.

Syukur … kerana dahulu pernah aku terlintas, bagaimana nanti kalau kalau salah seorang daripada kita dipanggil pulang oleh Allah? Ketika itu bukan sahaja hati benci merasanya tetapi fikiranpun dikunci daripada memikirkannya…. Ya Allah, benci betul rupanya kita kepada realiti. Angkuh betul kita dengan pinjaman Allah. Seolah-olah isteri, suami, anak-anak dan lain-lain itu benar-benar kepunyaan kita.

Tidak sanggup kita “pulangkan” kembali bila tarikh pulangnya sudah tiba. Kini, alhamdulillah, pinjaman itu dipinta kembali oleh Allah buat sementara… aku diserahkan kembali olehmu, dan kau diserahkan kembali olehku kepada-Nya. Didikan ini sangat mahal harganya… Inilah intipati iman kita kepada satu ayat Quran yang sangat pendek:
“Sesungguhnya kita milik Allah, kepada Allah kita akan dikembalikan.”

Terimalah pertemuan yang hakiki itu nanti dengan menempah tiketnya sekarang… tiket itu adalah perpisahan ini. Setiap peristiwa besar mesti ada ‘mukadimah’nya. Tanpa ‘mukadimah’ lintang pukanglah jadinya jiwa kita nanti.

Bersedialah untuk menghadapi yang terburuk akibat perpisahan ini tetapi jangan sekali-kali terputus dari berharap sesuatu yang terbaik. Berdoalah dengan rasa bimbang takut-takut tidak diperkenankan tetapi imbangilah kebimbangan itu dengan rasa yakin akan diperkenankan. Yang penting… Allah tambah kesabaran, keimanan dan rasa tawakal kita kepada Allah.

Di daerah ini kendali diri mesti kuat. Bila lalai sahaja dari mengingati Allah, deraan perasaan akan segera datang. Maka ketika itu terkial-kiallah kembali hati ini mencari kekuatannya… iman. Prasangka, bimbang yang bukan-bukan mesti dilontar jauh-jauh. Tawakal mesti dibina. Berserah dan pasrah sudah wajib, mainan “kalau”, “jika”, “nanti” mesti dihentikan. Alhamdulillah… Allah setakat ini telah mentakdirkan banyak perkara positif sedangkan sebelumnya aku diserang oleh prasangka yang negatif.

Yang dirindu,
Aku berdoa dan berharap kau begitu jua. Jangan dilayan rasa dan sangka yang bukan-bukan. Banyak tugasmu yang sedia ada dan bertambah lagi akibat perpisahan ini. Jaga kesihatan hati dan badanmu. Masa keemasan ini gunakanlah untuk memperkemaskan diri. Samada hubungan kita dengan Allah dan dengan manusia.

Orang yang “duji” mudah melakukan perubahan. Tidak boleh sekali-kali digugat kekesalan dan penyesalan masa lampau. Nanti akan timbullah “kalau tak begini dulu… tak lah begini, kalau, kalau, kalau…. Ini akan menyebabkan kita putus asa dan lemah menghadapi hidup. Apa yang penting, katakan, ini realiti, ini takdir, yang sudah ditentukan sejak azali.

Sama seperti pertemuan kita, kehidupan kita, percintaan kita, kasih sayang kita… dan lain-lain. Cuma bezanya, yang baik-baik dan manis-manis… mudah kita terima. Yang buruk-buruk dan pahit-pahit… susah kita terima. Sedangkan ilmu di sisi Allah kita tidak tahu, mana hakikatnya yang manis, mana yang pahit, mana yang buruk, mana yang baik? Bukankah di sisi Allah ada yang lebih tersirat?

Bertemu tak jemu. Berpisah tak gelisah. Jangan bersedih… berani dan tabahlah demi cinta Allah!

sumber;surat cinta suami yang lara

Thursday, September 2, 2010

Lailatul Qadar

"Sesiapa yang menghidupkan Ramadan dengan penuh keimanan dan penuh kesedaran (mengharap ganjaran Allah) nescaya akan diampuni baginya dosa-dosa yang lalu." (riwayat al-Bukhari dan Muslim]

"Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, (1) Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? (2) Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. (3) Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); (4) Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar! / (5)" Surah Al-Qadr Ayat 1-5)

Sebab Allah adakan malam Lailatul Qadr
Menurut Imam Malik, Rasulullah melihat bahawa umur umatnya tidak sepanjang umat sebelum mereka, baginda bermohon kepada Allah memberikan peluang di mana umatnya supaya dapat beramal dengan yang nilainya sama dengan amalan umat sebelum mereka.

Menurut Imam al-Qurtubi pula berpendapat, Rasulullah diperlihatkan kepadanya usia umat terdahulu, maka Baginda berasa usia umatnya terlalu pendek hingga tidak mungkin dapat mencapai amal seperti yang diraih oleh umat terdahulu yang usianya panjang. Purata usia umat Muhammad antara 60 hingga 70 tahun menurut maksud satu hadis Rasulullah. Sebab itu Allah menawarkan malam al-Qadar yang mempunyai nilai pahala seribu bulan kepada Rasulullah, para sahabat malah kepada seluruh umat baginda s.a.w

Justeru, malam al-Qadar adalah satu kurniaan Ilahi yang dianugerahkan oleh Allah kepada Rasulullah dan umatnya sebagai tanda kasih sayang dan rahmat-Nya yang menyeluruh. Amal kebajikan seseorang hamba Allah pada malam itu adalah lebih baik daripada amal kebajikan selama seribu bulan atau menurut ulama sebagai 83 tahun empat bulan.

Dorongan Nabi supaya umatnya terus beribadat pada malam tersebut
Kerana keutamaan ini, Rasulullah menganjurkan umatnya agar mencari dan seterusnya mendapatkan malam al-Qadar yang penuh keberkatan itu. Dalam hal ini, Rasulullah perlu dijadikan ikutan yang menampilkan teladan terpuji dalam menghidupkan malam terakhir Ramadan.

Ini dilakukan dengan melaksanakan iktikaf, membangunkan keluarga agar lebih meningkatkan amalan ibadat pada malam hari dan tidak mendekati isterinya dengan tujuan memperbanyakkan amal ibadat di masjid seperti solat tahajud, Witir, solat Tarawih, membaca dan tadarus al-Quran serta berzikir kepada Allah dan amalan solih lain yang dianjurkan Islam.

Rasulullah sentiasa memanjatkan doa ke hadrat Ilahi. Antara yang sering Baginda baca ialah doa maksudnya: "Wahai Tuhan kami! Anugerahkanlah kepada kami kebajikan di dunia dan juga kebajikan di akhirat serta peliharakanlah kami daripada seksaan api neraka yang pedih."

Doa yang dilafazkan itu bukan sekadar satu permohonan untuk memperoleh kebajikan dunia dan akhirat, malah untuk memantapkan langkah dan kesungguhan agar dapat meraih kebajikan yang dijanjikan Allah. Ini kerana doa itu sendiri membawa maksud satu permohonan yang penuh tulus dan pengharapan, di samping disusuli dengan usaha melipat gandakan amal ibadat yang mendekatkan diri kepada Allah.

Selain itu, setiap Muslim dianjurkan bertaubat dan memohon ampun kepada Allah daripada sebarang kesalahan dan dosa selama ini. Setiap manusia tidak terlepas daripada kealpaan dan seterusnya melakukan kesalahan yang dilarang Allah. Dalam hal ini, Rasulullah bersabda maksudnya: "Setiap anak Adam tidak akan terlepas daripada melakukan dosa dan sebaik-baik orang daripada kalangan yang berdosa itu ialah yang bertaubat kepada Allah." (Hadis riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah)

Berdasarkan permohonan inilah maka Allah menurunkan Lailatul Qadar.

Hikmah dirahsiakan kehadirannya
Sesungguhnya ayat al-Quran yang menceritakan tentang masa berlaku Lailatul Qadr, tidak dijelaskan secara jelas, kerana ia bertujuan agar manusia tidak hanya tertumpu pada satu malam sahaja jika mereka tahu malam tersebut, justeru ia dirahsiakan agar mereka menghidupkan setiap malam terakhir Ramadan dengan amalan-amalan yang pernah dilakukan oleh baginda, para sahabat dan para solihin terdahulu.

Syeikh Muhammad Abduh berpendapat bahawa sebab malam itu diturunkan kepada umat Muhamad kerana Qadar itu bermakna ketentuan atau takdir. Pada malam itu Allah mula mentakdirkan agama-Nya dan memerintahkan nabi-Nya untuk menyeru manusia kepada agama yang melepaskan mereka daripada segala kehancuran dan kerosakan.

Pendapat Syeikh Muhammad Abduh ini berdasarkan kenyataan bahawa al-Quran pertama kali diturunkan pada malam al-Qadar. Turunnya al-Quran pada dasarnya adalah watikah pelantikan Muhammad sebagai nabi dan rasul yang bertanggungjawab menyampaikan risalah Islam. Begitu juga dalam mengubah corak hidup manusia daripada alam jahiliah kepada suasana Islam. Ertinya malam al-Qadar itu adalah malam disyariatkan Islam kepada umat Nabi Muhammad sebagai agama penyelamat untuk seluruh alam.

Ada ulama lain yang menyatakan bahawa penyebab dikatakan dengan malam al-Qadar kerana pada malam itu Allah menetapkan takdir setiap makhluk baik berupa rezeki, umur atau sakit atau sihatnya seseorang untuk jangka masa setahun, iaitu dari malam al-Qadar tahun ini hingga ke malam al-Qadar tahun depan.

Mengenai jatuhnya malam al-Qadar, ulama berbeza pendapat mengenainya. Imam Nawawi berkata bahawa sebahagian ulama menyatakan malam itu bergilir dari tahun ke tahun. Ertinya apabila pada tahun ini berlaku pada malam 29 Ramadan, maka tahun akan datang datang pada malam berbeza.

Hal sama dikatakan oleh Ibn Hazm bahawa Lailatul Qadar itu ada kalanya pada malam 21, 23, 25, 27 atau 29 Ramadan.

Sementara menurut jumhur ulama, Lailatul Qadar berlaku pada malam yang sama pada setiap Ramadan iaitu pada malam 27 Ramadan. Ini berdasarkan hadis Rasulullah daripada Ubai bin Ka'ab yang diriwayatkan oleh Tirmizi dan hadis dari Mu'awiyah yang diriwayatkan Abu Dawud. "Saya mendengar Rasulullah bersabda carilah Lailatul Qadar itu pada malam 27."

Sebahagian sahabat dan ulama mencuba menentukan Lailatul Qadar dengan cara lain, iaitu menggunakan rumusan tertentu.

Ibnu Abbas berkata bahawa surah al-Qadr itu terdiri daripada 30 kalimah. Kata salamum hiya (selamat sejahteralah malam itu) berada pada kalimah yang ke-27. Oleh itu Ibnu Abbas menyatakan bahawa malam al-Qadar berlaku pada malam ke-27.

Sementara sebahagian ulama menyatakan bahawa kalimat Lailatul Qadr terdiri daripada sembilan huruf. Dalam surah al-Qadr kata-kata Lailatul Qadr itu diulang-ulang sebanyak tiga kali. Maka sembilan darab tiga adalah 27. Maknanya Lailatul Qadar itu berlaku pada malam 27.

Sementara ulama lain seperti Ahmad Marzuk dan Ibnu Arabi berpendapat bahawa Lailatul Qadar itu berlaku pada malam Jumaat ganjil pada 10 malam terakhir Ramadan.

Namun dalil yang paling kuat mengenai Lailatul Qadar adalah hadis daripada Aishah yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari. "Carilah sedaya-upaya kamu Lailatul Qadar itu pada sepuluh malam ganjil pada akhir Ramadan."

Perbezaan pendapat sahabat dan ulama ini sebenarnya adalah satu kenyataan bahawa tidak ada satu dalil jelas yang menunjukkan bila malam ini berlaku. Tetapi sahabat dan ulama bersepakat dengan hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Aishah tadi bahawa malam itu berlaku pada sepuluh malam ganjil akhir Ramadan.

Menurut Prof Wahbah al-Zuhayli, sebab dirahsiakan Lailatul Qadar supaya umat Islam sentiasa berusaha beribadah pada setiap malam Ramadan tanpa menumpukan pada satu malam saja. Ini kerana setiap malam pada Ramadan memiliki hikmah dan rahsia tersendiri.

Tanda-tanda berlakunya Lailatul Qadr
Di antara tanda yang sempat terlihat pada masa Nabi s.a.w adalah bahwasanya ketika baginda bersujud di waktu Subuh di atas tanah yang dibasahi dengan air, ertinya bahawa pada malam itu turun hujan sehingga baginda sujud di atas tanah yang berair.

Lailatul Qadr adalah malam dibukanya seluruh pintu kebaikan, didekatkannya para kekasih Allah, didengarkannya permohonan dan dijawabnya segala doa, amal kebaikan pada malam itu ditulis dengan pahala sebesar besarnya, malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Maka hendaknya kita berusaha untuk mencarinya dengan bersungguh-sungguh.

Malam itu tenang dan hening, keadaannya tidak dingin dan tidak panas; siangnya pula memancarkan cahaya matahari yang warnanya pucat; pada malam itu juga malaikat Jibril akan menyelami orang yang beribadat pada malam itu dan secara tiba-tiba kita akan rasa sangat sayu dan kemudiannya menangis teresak-esak.

Ada pendapat yang berkata, bahawa orang yang menemui lailatul qadar akan melihat nur yang terang benderang di segenap tempat hingga keseluruhan ceruk yang gelap gelita.

Ada pula menyatakan bahawa kedengaran ucapan salam dan kata-kata yang lain daripada malaikat.

Ada juga yang melihat segala benda termasuk pohon-pohon kayu rebah sujud.

Ada yang berkata doa permohonannya makbul.

Fokus umat pada malam tersebut

Lailatul Qadr seperti yang dijelaskan di atas, adalah masa yang paling sesuai untuk mengajukan segala permohonan kepada Allah SWT, apa yang perlu dilakukan pada malam tersebut ialah dengan perkara-perkara berikut:

Menghayati malam tersebut dengan ibadah

Beriman dengan yakin bahawa malam lailatul qadar itu adalah benar dan dituntut menghayatinya dengan amal ibadah.

Amal ibadah itu dikerjakan kerana Allah semata-mata dengan mengharapkan rahmat dan keredhaanNya.

Kesimpulan, persoalan bila sebenarnya berlakunya Lailatul Qadr, hanya Allah SWT sahaja yang tahu.

Apa yang telah dinyatakan kepada kita melalui hadis-hadis Nabi s.a.w ialah tanda-tanda dan juga malam-malam yang kemungkinan berlakunya Malam al-Qadr.

Berdasarkan hadis Nabi s.a.w menghidupkan 10 malam terakhir dengan beriktikaf, ramai di kalangan ulama' cenderung mengatakan bahawa malam tersebut kemungkinan besar akan berlakunya Malam al-Qadr.

Mengenai cerita pelik yang berlaku, usahlah dijadikan pegangan, oleh kerana para sahabat juga mencari Malam Al-Qadr dengan berdasarkan tanda-tanda yang telah Nabi saw ceritakan kepada mereka. Malah, tidak terdapat sebarang periwayatan mengenai apa yang telah dilihat oleh para sahabat. Maka tidak melihat, tidak bermakna tidak mendapat ganjaran Malam al-Qadr!

Fikir masalah umat ketika sedang beritikaf adalah ibadat

Bukan sahaja melakukan ibadat qiyamullail itu dikira sebagai satu amal ibadat yang baik di sisi Allah SWT, malah memikirkan sesuatu khususnya mengenai masalah yang melanda umat Islam hari ini juga dikira sebagai ibadat yang besar, apatah lagi ketika menjalani proses beri’tikaf dalam masjid pada malam-malam terakhir Ramadan.

Lebih-lebih lagi masalah umat secara global, sama ada keruntuhan moral, perilaku, akhlak di kalangan remaja lelaki mahupun perempuan, masalah krisis keyakinan terhadap Islam di kalangan mereka yang mempunyai profil tinggi dan lain-lain, kesemua itu dapat ditangani jika masing-masing memainkan peranan sebagai hamba Allah yang mempunyai jati diri sebagai orang yang bertakwa seperti yang dituntut dalam ayat mengenai matlamat pelaksanaan ibadat puasa.

Fadilat Lailatul Qadr
Mungkin terdapat sesetengah orang menyangka bahawa mendirikan Qiyamullail pada disepertiga (1/3) malam iaitu dengan hanya bersolat Tarawih (Qiyam Ramadan) berjemaah pada awal malam, iaitu selepas Solat Ba'diyah Isya'. Apakah orang seperti ini mendapat ganjaran atau pahala seperti mereka yang bersolat di malam Al-Qadr (sekiranya berlaku Lailatul Qadr pada malam tersebut)?

Berkata Muhaddis terkenal, Sheikh Nasyirudin Al-Albani (didalam buku Risalah Qiyam Ramadan) :

"Sebaik-baik malam ialah Malam Al-Qadr, kerana baginda s.a.w bersabda :"Barangsiapa yang berqiyam pada Malam Al-Qadr (berjaya mendapatkannya) dengan keimanan dan pengharapan, telah diampunkan dosa-dosa yang telah lalu" - [Hadith riwayat kedua Sheikh dari hadith Abu Hurairah, Ahmad 5/318].

Sementara Sheikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi menceritakan mengenai syarat beramal pada malam Al-Qadr, katanya :

"Membawa kepada apa yang harus dilakukan oleh seorang Islam pada malam tersebut ialah : bersolat Isya' berjemaah, Solat subuh berjemaah dan pada malamnya mendirikan qiyamullail.

Di dalam Sahih diriwayatkan bahawa Nabi bersabda :"Barangsiapa yang bersolat Isya' berjemaah, seolah-olah ia berqiam di separuh malam, dan barangsiapa yang bersolat subuh berjemaah, seolah-olah ia bersolat disepanjang malam tersebut". (Riwayat Ahmad, Muslim dan lafaznya, dari hadis Osman, Sahih Jami' Saghir - 6341).

Dan tujuannya ialah : "Barangsiapa yang bersolat Subuh dengan tambahan-tambahan di dalam waktu Isya', adalah sebagaimana yang diriwayatkan di dalam Hadis Abu Daud dan Tirmizi :

"Barangsiapa yang solat Isya' berjemaah bagaikan berqiyam separuh malam, dan barangsiapa bersolat Isya' dan Fajar bagaikan ia berqiyam sepenuh malam (sumber yang sama - 6342)."
Sumber:Lailatul Qadar:malam misteri yang dirindui kedatangannya